fbpx

Trafik perlahan 24km selepas Plaza Tol Gombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar keadaan trafik terkini di Plaza Tol Gombak.

PETALING JAYA- Aliran trafik di Plaza Tol Gombak yang merupakan pintu utama ke Pantai Timur dilaporkan sesak dengan kenderaan bergerak perlahan sejauh 24 kilometer (km).

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik perlahan itu bermula pada pukul 2 petang yang mana kesesakan berlaku bermula Plaza Tol Gombak sehingga Genting Sempah.

“Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pula, trafik perlahan di Tanjung Malin ke Slim River, Tapah ke Gopeng dan sebelum Terowong Menora ke Sungai Perak.

“Kesesakan turut berlaku dari Taiping utara ke Bukit Merah dan Alor Pongsu ke Jawi (Pulau Pinang),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.

Dalam pada itu, trafik perlahan dari Slim River ke Bidor dilaporkan berlaku sejauh 30km ekoran peningkatan jumlah kenderaan menuju utara.

Di bahagian selatan pula, trafik masih lancar dan tiada kesesakan luar biasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin menjelaskan berlakunya peningkatan aliran trafik melebihi 500,000 kenderaan berbanding jangkaan awal pihaknya.

“Jangkaan awal kami kira-kira lima juta kenderaan akan berada di atas lebuh raya untuk pulang beraya semalam, tetapi jumlahnya mencecah hampir 5.5 juta kenderaan.

“Susulan itu, kita menggerakkan Ops Lancar di beberapa kawasan bagi membantu menyuraikan kesesakan dengan meminta anggota bermotosikal untuk mengenal pasti punca aliran trafik perlahan selain membantu pengguna menghadapi masalah,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya juga bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah bagi menyuraikan aliran trafik seterusnya mengurangkan kesesakan di lebuh raya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI