NEWCASTLE – Pasukan Liverpool meneruskan momentum cemerlang dalam usaha memburu gelaran ‘quadraple’ apabila berjaya menewaskan Newcastle United 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, pengendali The Reds, Jurgen Klopp membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan ayam tambatan, Mohamed Salah dalam kesebelasan utama.
Situasi tersebut dilihat sedikit merencatkan jentera serangan Liverpool khususnya pada awal saingan meskipun dibarisi Luis Diaz, Sadio Mane dan Diogo Jota.
Namun, Liverpool masih mampu meledak gol tunggal hasil jaringan yang dilakukan oleh Naby Keita pada minit ke-19 selepas menyudahkan hantaran Jota dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad The Reds akan mengalihkan tumpuan untuk mengharungi aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Villarreal pada awal pagi Rabu depan.
Liverpool sebelum ini telah menjuarai trofi Piala Liga Inggeris (EFL) selain turut melangkah ke pentas final Piala FA musim ini. – AGENSI.