BUKAN sebutir, tetapi lapan pingat emas mampu disasarkan oleh skuad terjun negara ketika menggalas misi di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan sekali gus ia menjadi lubuk emas buat kontinjen negara.
Memandangkan status Malaysia sebagai kuasa besar sukan terjun terutama di peringkat Asia Tenggara, maka misi untuk menyapu bersih pingat emas yang ditawarkan itu bukan sesuatu yang terlalu mustahil.
Pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee optimis dengan keupayaan dimiliki barisan penerjun negara untuk pulang membawa kejayaan, malah ia adalah misi wajib untuk mereka.
“Memang itulah sasaran kita, memandangkan lapan acara akan dipertandingkan pada Sukan SEA nanti. Oleh itu, kita mahu sapu bersih pingat emas dalam acara terjun nanti,” katanya yang pernah memenangi 17 pingat emas dalam temasya Sukan SEA.
Di sebalik harapan besar diletakkan di bahu skuad terjun negara, Mun Yee mendedahkan kebimbangannya terhadap fasiliti baharu di Pusat Akuatik My Dinh.
“Cuma kita risau di Vietnam nanti adalah semuanya fasiliti baharu. Kita kena uji keadaan papan serta platform dahulu. Ini kerana, semua penerjun kita akan melakukan darjah kesukaran terjunan tinggi,” katanya.
Lapan acara dipertandingkan adalah 10 meter (m) platform seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1m papan anjal individu lelaki dan wanita.
Pada saingan itu nanti, skuad terjun negara menurunkan tiga atlet Olimpik diketuai Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee untuk kategori wanita.