SINGAPURA – Seorang pramugari syarikat penerbangan Singapore Airlines menjadi tular di media sosial selepas aksinya memujuk remaja wanita yang baru putus cinta dimuat naik di laman TikTok, lapor portal Mothership.sg semalam.
Remaja dikenali sebagai Misa itu memberitahu, dia kecewa kerana teman lelakinya memutuskan hubungan mereka sebelum dia berlepas ke New York.
Penerbangan yang mengambil masa 18 jam itu ternyata terlalu lama buat Misa menahan air mata lalu dia menangis teresak-esak sebelum dipeluk oleh seorang pramugari Singapore Airlines.
“Aksi spontan pramugari ini membuatkan penerbangan 18 jam ini tidak terlalu teruk.
“Pramugari ini sangat baik hati dalam memastikan saya selesa sepanjang penerbangan, malah memberikan saya hadiah patung beruang comel ketika pesawat mendarat,” kata Misa.
Misa merakam detik ketika pramugari tersebut datang dan memeluknya kerana berasakan ia situasi yang lucu walaupun ketika itu, dia tidak mampu menahan diri daripada menangis.
“Jangan risau, saya okey sahaja. Apa yang berlaku hanya perkara biasa, lukanya tidaklah terlalu dalam,” ujar Misa.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 8.6 juta tontonan di TikTok. – Agensi