KURANG dari tempoh 100 jam sahaja lagi, gema Aidilfitri bakal membahagiakan seluruh alam.
Dalam konteks hiburan televisyen, kehadiran lebaran dengan kebebasan pandemik tahun ini diraikan dengan pelbagai program menarik dari segenap saluran televisyen.
Antara yang menanti tontonan ramai adalah ‘reunion’ program realiti popular bercirikan muzikal dari stesen-stesen televisyen arus perdana tanah air.
GV Istimewa sajian Astro.
Stesen televisyen Astro menyajikan beberapa program popular raya mereka termasuklah Gegar Vaganza Istimewa Raya yang menampilkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse serta para peserta program berkenaan seperti Aliff Aziz, Nikki Palikat, Suki Low dan Aweera menerusi Astro Ria pada 29 April ini.
Program lain seperti Bintang Minggu Ini Raya, The Masked Singer Malaysia Reunion, Koleksi Sepahtu Reunion Al Raya dan Maharaja Lawak Mega Raya turut menjadi juadah raya istimewa siaran saluran berbayar tersebut.
Konsert penuh Siti Nurhaliza di RTM
Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak terkecuali menyajikan program muzikal terbaik dengan Konsert Temasya Aidilfitri pada 3 Mei pukul 1.30 tengah hari.
Paling ditunggu ramai semestinya, Konsert Minggu Ini Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan ditayangkan pada 7 Mei pukul 9 malam menerusi TV2.
Konsert tersebut mengubat kerinduan peminat yang menantikan persembahan penuh si lentera Timur itu. Menjanjikan 12 buah lagu dalam persembahan ini, figura muzik terkenal tanah air ini turut menampilkan artis undangan Kmy Kimo dan Luca Sickta menyanyikan lagu-lagu popular yang pasti menghiburkan.
RTM menerusi TV2 turut mempertaruhkan sebuah program khas Tapau Show Khas Aidilfitri (8 Mei). Program bicara santai tersebut tentang dunia mencungkil kisah penggiat seni pelbagai genre bersama tetamu jemputan di studio terdiri daripada wakil industri hiburan, perfileman, drama dan influencer.
Variasi muzikal, komedi Awesome TV
STESEN televisyen paling ‘bongsu’, Awesome TV memeriahkan Aidilfitri menerusi beberapa program istimewa menarik mereka dimulai Konsert Mic On! Raya yang dijadualkan untuk bersiaran pada pukul 8.30 malam raya dengan penampilan istimewa Mas Idayu, Black, Tomok, Ajak Shiro, Ropie serta peserta program Mic On! musim pertama dan kedua.
Istimewa untuk peminat genre komedi dan muzikal, Awesome TV turut memperkenalkan slot khas Konsert – Special Raya bermula pada hari raya kedua (4 Mei) hingga hari raya kelima (7 Mei) pukul 2 petang dengan menampilkan program Lawak Ke Der edisi 2013, 2014, 2015 dan 2016 untuk mengubat kerinduan penonton.
Antara pelawak tersohor tanah air yang menjayakan pementasan pentas komedi berprestij tersebut termasuklah Johan, Zizan Razak, Nabil Ahmad, Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Jihan Muse, Sherry Al Hadad, Bocey, Jambu dan ramai lagi. Program Baik Punya Konsert turut menemui penonton pada 7 Mei 2022 pukul 10 malam yang menampilkan nama-nama popular seperti Datuk Awie dan Hans Isaac.
Turut mencuri tumpuan audiens juga slot Ohsem-Tainment yang membariskan program hiburan menarik berbentuk ‘spin-off’ dalam pelbagai genre seperti variasi, komedi, sketsa dan bual bicara seperti Perang Malam Ini Raya, Roller Kata Raya, Memoria Raya, Jawapan Panas 2, Rumah Insaf, Chit Chat Ustaz Raya dan Ramadrama.
I Can See Your Voice edisi raya TV3
Tidak ketinggalan, TV3 juga menyediakan program hebat bernuansakan muzikal didahului dengan Sampaikan Raya pada 2 Mei pukul 11 malam. Program berkenaan dihoskan dua selebriti popular, Janna Nick dan Andi Bernadee.
Stesen televisyen nombor satu tanah air itu turut menayangkan Master In The House Malaysia Raya (7 Mei pukul 9 malam). Turut menghangatkan suasana, program realiti I Can See Your Voice Malaysia 5 (Episod 1: Edisi Raya) akan menemui peminat pada 7 Mei waktu yang sama.
Saksikan episod istimewa edisi raya yang menampilkan Naim Daniel dan Tajul sebagai artis jemputan. Berjayakah mereka mengenal pasti siapakah penyamar bersuara sumbang dalam kalangan barisan penyanyi misteri dengan bantuan panel penyiasat tetap dan juga penyiasat jemputan iaitu Zulin Aziz, Kilafairy dan Shiha Zikir.