PUTRAJAYA – Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan digerakkan di seluruh negara bagi menjalankan semakan secara rawak status Covid-19 pekerja dan pengunjung di premis.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang akan bermula esok (1 Mei).
“Selari dengan pengumuman tersebut juga, KPDNHEP komited untuk mengerakkan pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi menjalankan semakan secara rawak dan sekiranya didapati status pekerja atau pengunjung berisiko tinggi, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan.
“Tindakan yang dimaksudkan adalah di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Alexander, selepas ini, semua individu dibenarkan masuk ke mana-mana premis tanpa mengira status vaksinasi kecuali mereka yang disahkan positif Covid-19 dan yang diberikan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO).
“Di bawah fasa peralihan endemik, kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran kepada pihak industri peruncitan dan pengguna dalam memastikan industri ini kembali bernafas.
“Sumbangan sektor peruncitan adalah sangat signifikan kepada pemulihan ekonomi negara dan berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran bagi Februari lalu merekodkan nilai jualan RM48.8 billion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.- KOSMO! ONLINE