SEREMBAN – Di sebalik segala ujian dan kesukaran hidup yang dialami, seorang lelaki warga emas tetap reda untuk tinggal bersendirian di sebuah rumah yang serba kekurangan di Rumah Rakyat Panchor di sini.
Muhamad Haron, 73, berkata, dia sebelum ini pernah menikmati kehidupan sempurna dengan bergaji besar dan merantau sebagai pelayar kapal, namun takdir meletakkan kehidupannya kini serba kekurangan.
Keadaan kesihatan Muhamad yang kini menderita penyakit darah tinggi dan gout turut membataskan pergerakannya sehingga perlu menggunakan kerusi roda.
“Rumah ini okay, cuma ada bocor di dapur dan kotor kerana saya tidak mampu bersihkan selain air yang sangat perlahan.
“Ada yang pernah ajak tinggal di rumah orang tua, tetapi pak cik tidak mahu dan lebih suka duduk di sini kerana tiada sesiapa ganggu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di sini baru-baru ini.
Katanya, disebabkan kekurangan itu, dia tidak terlalu memilih makanan dan menjadikan bubur sebagai juadah utama.
“Memang hari-hari makan bubur, sekali-sekala beli kuah asam pedas kadang makan gulai kuning. Alhamdulillah, yang penting perut dapat diisi,” tambahnya.
Jelas Muhamad, dia mempunyai sembilan orang anak hasil perkahwinan dengan empat isteri sebelum ini yang mana tujuh daripada anaknya kini menetap di Singapura.
“Pak cik pernah tinggal selama sebulan dengan anak perempuan di Subang, Selangor, tetapi memilih untuk tinggal semula di Rumah Rakyat Panchor kerana lebih selesa. Ini memang pilihan saya sendiri,” ujarnya.
Bagi meneruskan hidup, Muhamad kini bergantung dengan duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan menjual buah kelapa yang ditanam di hadapan rumah.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional 0511229000183892 (Muhamad Haron).