PETALING JAYA – Pasukan Selangor berjaya mempamerkan kebangkitan untuk melakar kemenangan kedua Liga Super musim ini selepas menewaskan Sri Pahang di Stadium MB Petaling Jaya sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah tidak mempunyai masalah untuk mendahului saingan hasil ledakan Herlison Caion pada minit ke-32.
Bersambung pada separuh masa kedua, giliran Henrique Hyuri pula menunjukkan belang dengan meledak gol kedua buat skuad kendalian Michael Feichtenbeiner pada minit ke-52.
Namun, Sri Pahang berusaha untuk bangkit dan berjaya merapatkan jurang dengan gol ledakan Nor Azam Azih pada minit ke-62.
Ketika skuad Tok Gajah ghairah memburu gol penyamaan, Selangor mendapatkan gol ketiga menerusi ledakan pemain antarabangsa Jordan, Yazan Al-Arab pada minit ke-75 dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor kini meraih lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan. – KOSMO! ONLINE.