SHAH ALAM – Jumlah kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkodkan di Selangor kini sudah melebihi paras amaran.
Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), penyakit yang banyak menjangkiti kanak-kanak bawah tujuh tahun itu merekodkan 5,346 kes sehingga Rabu lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, jumlah terbaharu itu telah dinotifikasi sebagai kes mingguan yang melebihi paras amaran.
“Selain itu, terdapat 112 kluster HFMD dilaporkan melibatkan 547 kes di seluruh negeri ini.
“Sebanyak 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska, tadika dan pusat jagaan harian namun tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Sha’ari, pihaknya meminta orang ramai terutama pengusaha dan penjaga kanak-kanak supaya mengambil langkah berwaspada bagi mengekang penyakit itu. – KOSMO! ONLINE