PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah melaksanakan Program Advokasi sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Stesen Minyak Petronas Solaris Putra dan Stesen Minyak Petronas Solaris Serdang, hari ini.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, Program kolaborasi bersama syarikat Petronas itu bertujuan mengingatkan pemandu supaya berhati-hati dan mengambil berat tentang keselamatan ketika memandu.
“Para pemandu dinasihatkan supaya berehat secukupnya sebelum meneruskan perjalanan, sentiasa memeriksa kenderaan, penggunaan pelekat pantul cahaya dan aspek-aspek keselamatan lain yang berkaitan.
“Khidmat nasihat dan risalah keselamatan jalan raya turut diberikan kepada orang awam untuk memupuk kesedaran mengenai pentingnya aspek pematuhan peraturan jalan raya di saat peningkatan kadar trafik menjelang musim perayaan ini,” katanya di sini hari ini.
Katanya, JPJ akan terus melaksanakan program-program berbentuk advokasi sebegini bagi mencapai visi dalam menjadikan “Malaysia, Sebuah Negara Sifar Kematian Akibat Nahas Jalan Raya”.
Langkah itu sekaligus memupuk kesedaran kepada pemandu kenderaan supaya sentiasa peka dengan kenderaan yang dipandu di samping menerapkan budaya pemanduan yang selamat ketika berada di jalan raya. – KOSMO! ONLINE