JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akan melakukan perjalanan ke kota Jogjakarta bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Jokowi dijangka memulakan perjalanan balik kampungnya hari ini (Sabtu) menggunakan laluan udara.
Presiden Indonesia itu memilih untuk tidak pulang ke kampung halamannya di Solo, wilayah Jawa Tengah sebaliknya akan menyambut Aidilfitri di Jogjakarta.
“Tahun ini saya tidak pulang ke Solo sebaliknya akan beraya di Jogjakarta. Bagaimanapun, tidak pasti lagi berapa lama saya akan berada di sana,” kata Jokowi.
Dalam pada itu, Jokowi turut mengesahkan bahawa beliau tidak akan menganjurkan sebarang majlis rumah terbuka atau jamuan istimewa sempena lebaran kali ini.
“Tidak ada anjuran rumah terbuka. Seperti yang sudah saya beritahu sebelum ini, sebarang majlis yang melibatkan pengumpulan orang ramai perlu dielakkan terutama bagi kakitangan kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, pemimpin nombor satu bagi wilayah Jakarta, Anies Baswedan pula menyatakan bahawa beliau tidak akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya pada tahun ini.
Meski pemerintah telah memberikan izin untuk mudik atau perjalanan balik kampung, Anies sebaliknya memilih untuk tidak pulang kampung dengan alasan ‘jaga gawang’ atau memantau situasi di Jakarta.- Agensi