PETALING JAYA – Keadaan hujan lebat serta ribut petir bersama angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di enam buah negeri sehingga pukul 9 pagi nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca tidak menentu itu melibatkan Langkawi, Kedah dan Pekan serta Rompin bagi negeri Pahang.
Selain itu, di Selangor, antara kawasan yang dilaporkan mengalami cuaca buruk yang sama pagi ini adalah Klang dan Kuala Langat.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir ekoran cuaca buruk tersebut temasuklah di negeri Sarawak merangkumi kawasan Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Di Sabah, ia melibatkan sekitar Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) serta keseluruhan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE