PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang bakal berlaku di hampir semua negeri sehingga pukul 9 malam hari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dilihat tertumpu sekitar Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah.
Selain itu, bagi negeri Perak, cuaca buruk tersebut bakal melanda Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Di Kelantan, antara kawasan yang terlibat adalah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang serta beberapa daerah di Terengganu seperti Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Manakala di Pahang, ia melibatkan keseluruhan kawasan negeri berkenaan,” katanya.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat serta ribut petir dilhat berlaku di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, Selangor serta sekitar Kuala Lumpur.
“Di Negeri Sembilan dan Johor, hujan lebat masih melanda beberapa daerah di sana pada petang ini dan bakal berterusan sehingga awal malam nanti.
Dalam pada itu, cuaca buruk yang sama juga dilaporkan sekitar negeri Sarawak dan Sabah ketika ini. – KOSMO! ONLINE