PASIR MAS – Seorang buruh ditahan selepas dipercayai menyimpan sebanyak 800 biji pil kuda yang bernilai RM8,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gual Pasong Hantu, Gual Sitok, Rantau Panjang di sini hari ini.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menjalankan serbuan di rumah berkenaan pada pukul 2 pagi selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa serbuan dilakukan, suspek yang berusia 22 tahun sedang baring di atas sofa di dalam rumah itu.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah menemui sebanyak 800 biji pil kuda di dalam sebuah beg yang berada berhampiran suspek.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku kesemua pil kuda itu adalah miliknya.
“Suspek memaklumkan dia mengambil bekalan dadah itu daripada seorang lelaki yang turut tinggal di kampung itu. Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.