fbpx

Biadab! Bila masa saya mati? – DJ Lin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANTARAN berita palsu mengenai kematian DJ Lin menerusi Facebook dikecam ramai.

PETALING JAYA – Penyampai radio popular Suria FM, DJ Lin berang dan terkejut apabila mendapat berita palsu mengenai kematian dirinya yang tersebar dalam media sosial.

DJ Lin berkata, dia mengetahui perkara tersebut selepas sebuah page (kumpulan) dalam Facebook menggunakan nama Pengeluaran Khas KWSP 2022 mengumumkan dirinya telah menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

“Jujur menggigil badan dan tangan saya apabila baca mengenai kematian saya sendiri. Bila masa saya mati?

“Saya betul-betul tak faham kenapa masih wujud manusia seperti ini pada zaman moden kini.

“Elok saja saya on air (ke udara) menemani pendengar Suria Cinta malam tadi. Habis bersiaran tengok Facebook ternampak hantaran mengenai kematian saya itu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd. Majid, hantaran yang dimuat naik admin kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Amir Kdh disifatkan keterlaluan dan sangat biadab.

Katanya, sebagai admin, sepatutnya individu itu bertanggungjawab dalam membuat pengumuman selain memeriksa kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu dan bukan sesuka hati menyebarkannya.

“Jangan terlalu fikir nak jadi nombor satu atau paling awal menyampaikan berita sesuka hati tanpa memikirkan sensitiviti pihak lain.

“Saya boleh ambil tindakan undang-undang jika perkara sebegini masih berulang lagi,” tegasnya.

Terdahulu, Penyampai Radio Popular empat tahun berturut-turut Anugerah Bintang Popular (ABP) itu turut memuat naik perkara berkenaan dalam Instgramnya awal pagi tadi.

“Buat Amir Kdh, apa motif awak ya sebarkan berita palsu ini? DJ Lin masih bernyawa lagi dan baru saja habis bersiaran.

“Awak teringin nak popular ke atau macam mana? Sedih bila ada orang doakan benda tak baik pada kita.

“Teringin nak bertentang mata dengan orang yang menyebarkan fitnah tentang kematian DJ Lin ini. Sangat kurang ajar dan tidak bertanggungjawab!” tulisnya.

Perkongsian tersebut menuai perhatian pengikut yang rata-ratanya menyifatkan admin kumpulan tersebut sebagai tidak sensitif dan sekadar mahukan populariti.

Tinjauan Kosmo! Online mendapati, admin kumpulan tersebut ada memuat naik hantaran terbaharu meminta maaf dan mengakui menerima maklumat tidak tepat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI