fbpx

Aliran trafik menuju utara lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash Wahid (kanan) beramah mesra bersama pengguna jalan raya di Stesen Minyak Shell RTC Simpang Pulai arah utara, Ipoh hari ini. - FOTO : ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke utara berjalan lancar walaupun terdapat pertambahan jumlah kenderaan susulan kepulangan warga kota ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini, tiada kesesakan ketara dikesan walaupun jumlah kenderaan yang masuk ke Perak melalui lebuh raya dan jalan Persekutuan bertambah berbanding hari biasa.

“Berdasarkan laporan oleh PLUS, memang jumlah kenderaan meningkat di lebuh raya namun ia masih terkawal. Setakat ini aliran trafik berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada program Go To Safety Point (GTSP) dan pemantauan lalulintas bersama Ketua Polis Perak di Stesen Minyak Shell Simpang Pulai arah utara berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini awal pagi tadi.

Terdapat 270 buah stesen minyak di Perak menyertai GTSP yang bertujuan menyediakan satu tempat selamat kepada orang awam bagi mendapatkan bantuan awal ketika menghadapi situasi kecemasan sama ada mangsa jenayah atau terlibat kemalangan.

Menurut Mior Farid, bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan tiada kejadian jenayah berlaku, pihaknya telah mengatur gerak beberapa penugasan rondaan, kawalan lalu lintas dan sekatan jalan raya di setiap daerah.

Katanya, pendekatan Omnipresence juga diguna pakai terutama di kawasan tumpuan ramai termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian rehat lebuh raya bagi melahirkan rasa selamat dalam kalangan orang awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI