ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL) setelah menewaskan bekas juara ACL, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.
Lebih manis, keputusan perlawanan akhir peringkat Kumpulan I menyaksikan skuad Benjamin Mora menamatkan saingan sebagai pendahulu kumpulan untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Jaringan gol sendiri pemain Ulsan Hyundai, Pang Yong Woo pada sentuhan akhir perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya meraih tiga mata berharga.
Beraksi di laman sendiri, JDT hampir memperoleh gol awal seawal minit kedua hasil gerakan Arif Aiman Hanapi yang menyelinap masuk dari sayap kanan sebelum mengumpan bola kepada Bergson Da Silva namun peluang itu disia-siakan penyerang kelahiran Brazil itu.
Bergson terus mendatang resah buat pasukan lawan menerusi gerakan lincahnya dan berjaya memenangi sepakan bebas buat Harimau Selatan di kedudukan yang strategik.
Leandro Velázquez yang ditugaskan mengambil sepakan percuma itu berjaya lakukan tugas itu dengan sempurna setelah sepakannya melepasi benteng seterusnya menewaskan penjaga gol kebangsaan Korea Selatan, Jo Hyeon-woo pada minit kelima.
Kegembiraan kem Harimau Selatan dengan jaringan itu tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Hong Myung Bo berjaya mengikat kedudukan 60 saat kemudian.
Kegagalan Mathew Davies mengeluarkan bola dari zon bahaya memberi ruang kepada Lee Myung Jae memintas sepakan itu lalu mengumpan bola kepada Jun Amano yang merembat deras menewaskan Farizal Marlias pada minit keenam.
Pasukan pelawat hampir menambah jaringan pada minit ke-14 ketika melakukan serangan pantas namun percubaan Yun Illok jauh tersasar.
Pasukan Kendalian Benjamin Mora dilihat berdepan sedikit kesukaran beraksi pada waktu petang buat pertama kali pada kejohanan ACL musim ini.
Keadaan bertambah sukar setelah Natxo Insa yang dibawa keluar digantikan Nathaniel Hong Wan dilihat serba sedikit menjejas taktikal permainan JDT dari segi penguasaan di bahagian tengah.
Ulsan Hyundai menggandakan asakan ke arah kubu JDT dan Amano sekali lagi cuba melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol pada minit ke-17, namun kali ini Farizal lebih bersedia menguis rembatan tersebut.
Pada minit ke-24, pengadil perlawanan, Nawaf Abdulla Shukralla membuat keputusan kontroversi apabila menafikan jaringan gol Fernando Forestieri yang dikira sebagai ofsaid setelah menerima umpanan Afiq Fazail.
Bersambung babak kedua, JDT sekali lagi menjadi mangsa keputusan pengadil apabila pemain pertahanan lawan yang menjatuhkan Arif Aiman dalam kotak penalti tidak dihukum pengadil dari Bahrain itu pada minit ke-46.
Pada minit ke-53, pasukan pelawat sekali lagi bertindak menyerang dari sayap kiri dan Amano berpeluang untuk melepaskan rembatan tetapi percubaan itu tepat ke pangkuan Farizal.
Pada minit ke-60, Leandro hampir menambah jaringan peribadinya namun rembatan lencong dari luar kotak penalti sedikit tersasar melepasi pintu gol lawan.
JDT dilihat berjaya bertahan dengan baik mematahkan serangan bertali arus pasukan gergasi Korea Selatan itu yang berusaha menambah jaringan untuk meletakkan pasukan di kedudukan selesa.
JDT hampir mencipta jaringan hasil percubaan pemain gantian iaitu Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah namun tidak berjaya menghasilkan gol.
Ketika JDT dilihat sudah hampir tersungkur di peringkat kumpulan, serangan terakhir pasukan tuan rumah menerusi hantaran ke Arif Aiman ke dalam kotak penalti dikuis masuk Yong Woo untuk meraih kemenangan penting dalam sejarah kelab itu.-KOSMO! ONLINE