LONDON – Seorang lelaki mengalami kesan luka di seluruh badan akibat digigit oleh labah-labah paling berbisa di Britain yang didakwa ‘menyerang’ kediamannya, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Akibat keadaan itu, Russell Davies terpaksa tidur di dalam khemah di luar pangsapurinya di Kent, England kerana bimbang akan terus menjadi mangsa haiwan berbisa itu.
Labah-labah spesies false widow itu dikatakan mempunyai gigitan yang menyakitkan seperti sengatan tebuan.
“Saya berada dalam kesakitan. Saya berasa seperti mempunyai serpihan kaca di setiap bahagian badan yang digigit labah-labah itu.
“Kini sudah lebih seminggu saya tidur di dalam khemah. Ketika waktu siang, saya merayau-rayau dan fikiran menjadi gelisah. Saya enggan hidup begini lagi,” katanya.
Tambah Russell, gigitan labah-labah itu bermula pada bahagian badan, dan kemudiannya merebak ke dada dan lengannya serta kelihatan seperti luka.
“Saya menggeledah setiap sudut rumah ini untuk mencari labah-labah dan ia telah menyebabkan saya menghadapi masalah sukar untuk tidur dan gangguan kesihatan mental,” ujarnya.
Russell digigit oleh haiwan itu sejak dia mula berpindah ke rumah tersebut pada 2020. Dia juga telah membangkitkan masalah itu kepada Persatuan Perumahan Clarion iaitu organisasi yang memiliki pangsapuri itu.
Organisasi sama bagaimanapun meminta Russell menangani masalah itu sendiri dan enggan terlibat untuk menghalau haiwan berbisa tersebut. – AGENSI