fbpx

‘Satu hari di hari raya’, M. Nasir terkenang saat manis dengan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. NASIR

MENJELANG sambutan Aidilfitri yang tidak lama lagi, maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir tidak dapat menyembunyikan kerinduan di hati terhadap keluarga di Singapura terutama selepas arwah bapanya, Mohamed Sam meninggal dunia pada Januari tahun lalu.

Menurut M. Nasir, ketika pemergian arwah bapa, keadaan tidak mengizinkan untuk beliau pulang ke Singapura kerana pintu sempadan negara masih ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah bapa adalah dua tahun lalu, tetapi saya dapat balik ke Singapura baru-baru ini untuk melawat keluarga.

“Ibu saya juga sudah berusia 90-an dan semakin uzur. Banyak yang saya fikirkan kerana saya hanya mempunyai adik-beradik di sini, keluarga lain semua di Singapura,” ujar M. Nasir.

Sambung suami kepada pelakon Marlia Musa itu, tahun ini sambutan Aidilfitri lebih bermakna kerana beliau sekeluarga akan pulang beraya di Singapura selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

Tidak dapat menyembunyikan emosinya, M. Nasir mendedahkan beliau begitu rindu kenangan bersama arwah bapa dan suasana ketika membesar di Kota Singa itu.

“Begitu banyak memori bersama arwah bapa, saya memiliki perangainya. Arwah bapa tidak garang, tetapi seorang yang serius dan tidak banyak bercakap.

“Dia juga seorang yang sangat berdisiplin kerana kerja bomba. Paling diingat dia pernah sebat saya kerana nakal, tetapi saya tahu dia sayangkan saya.

“Arwah bapa orang yang rajin ke masjid dan dia akan jadi imam apabila bulan Ramadan, jadi saya selalu ikut dia ke masjid sewaktu kecil,” kongsi M. Nasir mengimbas kenangan di Singapura.

M. NASIR bakal menjayakan sebuah persembahan makan malam amal, Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei nanti.

Konsert

Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal mengadakan Konsert Satu Hari Di Hari Raya yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini pada pukul 8 malam.

Berkongsi tentang konsep persembahan yang bakal diketengahkan, penyanyi lagu Keroncong Untuk Ana itu menjelaskan, beliau akan mendendangkan lagu-lagu popularnya biarpun ramai menyangkakan konsert tersebut hanya bertemakan hari raya.

“Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan dianjurkan pada bulan Syawal selain, Satu Hari Di Hari Raya juga judul lagu raya popular saya. Meskipun begitu, saya tetap menyanyikan rangkaian 20 lagu popular.

“Walaupun konsert ini berkonsepkan makan malam, saya tetap akan pastikan penonton terhibur. Auranya tetap sama dengan konsert yang pernah saya jayakan di lokasi lain sebelum ini,” katanya yang ditemui pada sidang media konsert Satu Hari Di Hari Raya baru-baru ini.

Lebih manis, konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) tersebut juga adalah sebuah persembahan amal yang dianjurkan untuk membantu golongan penggiat seni kurang bernasib baik.

Presiden IRAMA, Ayob Abd. Majid berkata, pihaknya berbesar hati apabila penyanyi hebat seperti M. Nasir sudi bekerjasama selepas mengetahui konsert berkenaan dianjurkan atas tujuan amal.

“Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan.

“Saya amat berterima kasih kepada penganjur dan M. Nasir yang sudi menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini berkonsep amal.

“Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada IRAMA untuk diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik,” katanya.

Buat peminat yang ingin mendapatkan tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya bersama Datuk M. Nasir pada 27 Mei ini, anda boleh hubungi talian, 019 3682 548 (Ayob), 011 5502 6994 (Sham Amir Hussain), 016 6720 370 (Salimey) dan 012 5342 713 (Vin).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI