KAHERAH, MESIR – Seorang remaja di Mesir meninggal dunia selepas menjalani rawatan sedut lemak untuk membuang kira-kira 31.7 kilogram (kg) lemak daripada badannya, lapor akhbar Mirror UK.
Menna El Sayied, 19, dibawa menemui doktor yang membedahnya dalam keadaan berkerusi roda seminggu selepas menjalani prosedur tersebut.
Ibunya, Amal Ahmed menceritakan kejadian itu dalam dokumentari terbitan Badan Penyiaran Britain (BBC) bertajuk Beauty’s Ugly Truth.
“Saya memberitahu doktor tersebut bahawa Menna ialah satu-satunya anak perempuan saya. Dia berkata bahawa prosedur itu hanyalah pembedahan mudah,” ujarnya.
Tambah Amal, Menna kembali menemui doktor tersebut untuk menjalani pemeriksaan lapan hari selepas menjalani pembedahan.
Doktor berkenaan bagaimanapun enggan memeriksa gadis itu meskipun dia tiba dalam keadaan berkerusi roda dan sukar untuk bercakap.
Mereka diminta pulang ke rumah, dan pada malam tersebut, Amal ditemui di atas katilnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dia kemudian meninggal dunia akibat darah beku pada paru-paru dan perut, keesokan harinya.
Pelajar jurusan undang-undang itu dilaporkan berduka cita kerana memiliki berat badan 101 kg. Dia mendapatkan maklumat mengenai doktor bedah plastik itu secara online.
Sementara itu, doktor berkenaan, Mina Gerges memberitahu BBC bahawa dia tidak melakukan sebarang kesilapan ketika merawat Menna dan enggan mengulas lanjut kes itu bagi melindungi rahsia pesakit.
Kematian Meena dirujuk sebagai embolisme selepas sedutan lemak. Tiada sebarang bedah siasat dijalankan atau dakwaan kes jenayah dikenakan. – Agensi