fbpx

Puteri Reunion bakal gamit memori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN dibarisi pelakon asal, Puteri Reunion turut diberi nafas baharu dengan kehadiran Ruhainies dan Idris Khan.

UNGKAPAN berbunyi ‘jadi, kita enjoy!’ cukup mesra di telinga. Jika anda mengetahui dialog tersebut, pasti anda merupakan seorang penonton setia sitkom kegemaran ramai, Puteri yang pernah bersiaran 15 tahun lalu.

Lebih satu dekad sepi tanpa khabar, sitkom popular tersebut bakal menggamit semula kenangan penonton pada minggu pertama Syawal menerusi mini siri, Puteri Reunion.

Bakal bersiaran sebanyak empat episod bermula 3 hingga 6 Mei menerusi TV3, Puteri Reunion menghimpunkan semula barisan pelakon asalnya iaitu Nora Danish, Beego, Siti Fazurina, Intan Ladyana dan Kenchana Devi.

Sinonim dengan watak Puteri Farah Nordini, siapa lagi kalau bukan Nora Danish, pelakon berusia 39 itu menyifatkan Puteri Reunion sebagai pengubat kerinduan khalayak yang selama ini ternanti-nantikan nafas baharu naskhah tersebut.

Matang

Seiring peralihan zaman, Puteri Reunion menampilkan jalan cerita yang lebih matang berbanding sebelum ini yang banyak bermain dengan kisah perebutan kekasih dan cemburu antara sahabat baik.

“Selepas 15 tahun, jalan cerita kali ini lebih matang tetapi masih mempunyai elemen seronok.

“Dahulu jalan ceritanya tentang cemburu sesama sendiri dan berebut kekasih tetapi kali ini berbeza seiring dengan usia para pelakon dan drama ini,” luah Nora semasa sidang media virtual naskhah berkenaan baru-baru ini.

Nora turut terharu apabila kesemua pelakon asal terlibat mampu memberi aura yang sama seperti 15 tahun lalu.

“Bila tiba di set penggambaran, semua pelakon yang terlibat mampu memberi kerjasama baik seperti dahulu.

“Perkara itu membuktikan sitkom Puteri sudah sebati dalam diri masing dan keserasian yang terjalin bukan lagi dibuat-buat hanya demi drama,” katanya lagi.

Tambah Nora juga, setiap pelakon tidak mengalami sebarang masalah dalam mendapatkan semula emosi yang dilakonkan sama seperti 15 tahun lalu.

“Tidak susah pun nak dapatkan mood yang sama semula. Mungkin watak masing-masing sudah sebati dan hanya perlu ingat semula apa yang berlaku pada 15 tahun lalu.

“Malah, pengarah kami iaitu Amorizan juga pernah terlibat dalam sitkom Puteri dahulu sebagai penata rias, jadi dia faham perjalanan setiap karakter kami.

“Paling seronok apabila bekas pengarah Puteri iaitu Aziz M. Osman juga terlibat dalam beberapa episod Puteri Reunion. Memang mudahlah nak dapatkan semua emosi yang sama,” kongsi pemilik nama penuh Nora Danish Mohd Hanif itu.

AURA Puteri 15 tahun lalu masih menebal dan dapat dirasai bukan hanya oleh khalayak bahkan pemain watak asal seperti Nora Danish, Kenchana Dewi dan Siti Fazurina.

Penerimaan generasi baru

Nora juga yakin siri mini tersebut dapat menambat hati peminat generasi baharu.

Baginya, naratif Puteri Reunion sangat mudah difahami dan tidak ada masalah untuk para penonton generasi untuk memahami keseluruhan jalan ceritanya.

“Jika kita lihat siri popular Friends, ramai generasi baharu yang tidak pernah menonton siri lama itu turut mengikutinya kerana kisah yang dipaparkan tetap relevan sepanjang masa.

“Sama juga dengan Puteri, sarat dengan mesej berguna. Apabila kami berkongsi dalam media sosial, ramai peminat termasuk rakan-rakan artis teruja dan ada yang menonton siri lama dalam YouTube semata-mata nak tahu mengenai drama ini.

“Saya tidak tahu mengenai drama komedi lain, tetapi drama Puteri merupakan satu-satu sitkom yang bertahan selama 10 musim, sebanyak 130 episod.

“Disebabkan itulah, ia melekat di hati ramai, sama seperti ia melekat di hati kami,” katanya.

Komitmen Kenchana

Teruja berkongsi pengalamannya terlibat dalam Puteri Reunion, Kenchana Dewi atau lebih dikenali dengan watak Kamala memberitahu dia sanggup mengenepikan kerja lain hanya untuk naskhah tersebut.

“Drama ini sememangnya sangat istimewa dalam hati saya dan tidak keterlaluan jika nak cakap, saya terlalu sayangkan semua yang terlibat dengan Puteri.

“Demi untuk tidak ketinggalan untuk terlibat dengan Puteri Reunion, saya ketepikan sebentar kerja-kerja lain termasuk bisnes. Itulah komitmen yang saya berikan untuk cerita ini.

“Jika dilihat semula, kami memang tak pernah bertemu dalam mana-mana drama lain. Kami hanya berjumpa hanya untuk Puteri Reunion ini sahaja,” ujarnya.

Selain teruja, Kenchana juga terharu dengan respons yang diberikan oleh orang ramai apabila mengetahui drama Puteri Reunion bakal bersiaran.

“Terkejut saya tengok reaksi ramai, ada yang menangis dan meluahkan rasa sebak serta terlalu teruja kerana tidak sabar untuk melihat come back semua pelakon terlibat.

“Bila melihat reaksi sebegitu, semua itu membuatkan kami rasa lebih bersemangat sepanjang menjalani penggambaran Puteri Reunion,” kata pelakon drama berusia 49 tahun tersebut.

Puteri Reunion arahan Amorizan dan terbitan Padi Pictures itu bakal menemui penonton pada hari raya pertama hingga keempat pada pukul 10.30 pagi. Selain barisan pelakon asal, Puteri Reunion turut menampilkan Ruhainies dan Idris Khan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI