fbpx

Pengalaman pahit matangkan diri, bisnes Shahirra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHIRRA nekad untuk tidak meletakkan harapan kepada mana-mana pihak terutama dalam bisnes yang diusahakan.

TERLALU berharap dan meletakkan harapan sepenuhnya kepada pihak lain dalam sesuatu perkara mungkin boleh mendatangkan impak buruk pada akhirnya.

Tidak kisahlah berharap dalam apa jua perkara. Mungkin boleh jadi dari segi pertolongan, bantuan, jasa dan lain-lain perkara.

Itu antara pengalaman pahit yang terpaksa ditelan Shahirra Shahrul Asmawi dan suami kesayangan sewaktu awal-awal membina tapak dalam perniagaan. 

Membuka cerita, Shahirra memberitahu, dek kerana terlalu berharap dengan orang lain langsung tidak dikenali untuk memajukan bisnes, tetapi akhirnya ‘memakan’ diri sendiri. 

“Waktu itu saya dan suami memang belum pandai selok-belok cara membuat iklan bagi mempromosi produk dalam talian.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk mengupah pihak ketiga sebagai konsultan bagi membangunkan laman sesawang tersebut.

“Namun setelah membayar puluhan ribu ringgit, hasil jualan masih juga tidak menguntungkan dan semakin merugikan. 

“Produk yang kami tawarkan langsung tidak mendapat sambutan walaupun banyak wang telah dilaburkan,” katanya kepada Aura. 

BARISAN ejen dan pengedar yang banyak membantu membangunkan perniagaan dibangunkan Shahirra dan suami ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Jelas Shahirra, bermula daripada situlah, dia mula terapkan dalam diri untuk tidak mahu berharap apatah lagi meletakkan harapan 100 peratus kepada orang lain bagi memajukan perniagaan sendiri. 

“Saya sedar dalam perniagaan atau apa jua perkara, tidak akan ada jalan pintas untuk kita berjaya walaupun kita ada wang sebanyak mana pun. 

“Kita sendiri wajib tahu selok-belok sebelum mengambil keputusan untuk mengupah sesiapa agar tidak mudah ditipu di kemudian hari. 

“Untuk sampai ke tahap ini, saya mengambil masa empat tahun untuk belajar dan timba pengalaman,” katanya yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu. 

Meneruskan cerita, Shahirra berkata, tercetusnya idea untuk mengeluarkan produk penjagaan wajah ampoule booster mereka sendiri di bawah label Arora Jun tahun lalu terjadi disebabkan minatnya berniaga sebelum ini. 

“Sebelum mengasaskan Arora saya memang mengeluarkan produk untuk wanita seperti minuman botani untuk penggalak susu ibu, minuman botani untuk ibu hamil, dan beberapa lagi. 

“Titik tolak kepada pembukaan syarikat ini adalah bila mana ketika saya mengandung anak pertama saya mengalami alahan dan saya amalkan beberapa khasiat dari buah dan amat berkesan tanpa mengambil ubat-ubatan yang hanya bersifat menahan bukan menyembuh. 

“Jadi dari situ timbul rasa tanggungjawab untuk mengeluarkan minuman botani bagi memudahkan wanita yang memerlukannya tanpa perlu bersusah payah untuk menyediakan bahan yang diperlukan,” katanya.

SUAMI, Mohd. Rashid Omar dan anak-anak menjadi penguat semangat buat wanita berusia 34 tahun ini terus ampuh berada dalam arena perniagaan.

Ditanya mengenai perancangan perniagaan untuk lima ke 10 tahun akan datang, anak jati kelahiran Kampung Gajah, Perak itu berkata, dia bakal memperluaskan produknya ke pasaran luar seperti Indonesia. 

“Alhamdulillah walaupun belum sampai setahun kami beroperasi, saya bersyukur telah melahirkan lebih daripada 5,000 ejen dan jumlah tersebut akan meningkat kepada 20,000 menjelang hujung tahun ini. 

“Saya juga berbangga kerana produk kami telah pun memasuki pasaran Singapura dan bakal dilebarluaskan ke beberapa negara Asean seperti Indonesia tidak lama lagi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut sebarang pertanyaan mengenai Arora serta pendaftaran sebagai ejen, bolehlah melayari laman sesawang www.aroraskincare.com atau hubungi talian 011-1197 9246. – KOSMO! ONLINE

– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI