fbpx

Kumpul lebih 2,000kg makanan,minuman di tiga bazar Ramada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sukarelawan sedang menyusun makanan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan di bawah pentadbiran MBSA

SHAH ALAM – Sebanyak 2,294.4 kilogram (kg) makanan dan minuman berjaya dikumpulkan menerusi program ‘MySave Food @ Ramadhan’.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad berkata, kutipan tersebut masing-masing melibatkan 1,268.9 kg makanan dan selebihnya 1,025.5kg minuman di tiga buah bazar yang terlibat dalam program tersebut.

Katanya, ini termasuk Bazar Ramadhan Seksyen 19, Bazar Ramadhan Sri Muda Seksyen 25 dan Bazar Ramadhan Subang Bestari Seksyen U5 Shah Alam bermula 4 hingga 21 April lalu.

“Inisiatif ini bagi mengelakkan pembaziran makanan sekaligus dapat mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan.

“Kesemua kutipan makanan dan minuman itu kemudiannya diedarkan kepada mereka yang memerlukan di 13 buah lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, lokasi itu adalah Pangsapuri Rimba Jaya Seksyen 16 ; Surau Al-Amin, Surau An-Najahiyah dan Surau Hamiddean di Seksyen 19; Masjid Taman Seri Muda Seksyen 25, dan Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26.

Selain itu, adalah Flat Proton Seksyen 27; Pangsapuri Seri Purnama dan Pangsapuri Sri Saujana di Seksyen U5 ; Pangsapuri Sunway Sinar Seksyen U9, ; Surau Al-Mahdi Taman Bukit Subang, Pangsapuri Teratai Taman Bukit Subang dan Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang di Seksyen U16.

“Program ini juga adalah seiiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2 iaitu Sifar Kelaparan.

“Kita mendapat kerjasama daripada World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam dalam melaksanakan program ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI