fbpx

Klopp tidak mahu terlalu gembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIVERPOOL sudah meletakkan sebelah kaki mereka ke pentas final UCL apabila berjaya meraih bekalan selesa menewaskan Villarreal 2-0 awal pagi semalam. – AFP

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp enggan men­dabik dada sebaliknya menyeru agar pasukannya kekal berwaspada selepas meraih kemenangan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (Champions League) ke atas Villarreal awal pagi semalam.

Pada aksi di Anfield itu, skuad The Reds tidak mempunyai masalah untuk mendominasi sebahagian besar perlawanan sebelum berjaya meraih gol hasil jaringan sendiri Pervis Estupinan dan ledakan Sadio Mane pada babak kedua.

Kata Klopp, saingan masih lagi berbaki 90 minit dan tidak boleh sesekali memandang rendah keupayaan skuad Yellow Submarine meskipun pasukannya boleh dikatakan sudah meletakkan sebelah kaki ke pentas final Champions League musim ini.

“Kita baru mengharungi aksi pertama dan saingan masih berbaki satu perlawanan di Sepanyol minggu depan yang kami jangka mereka akan melakukan kebangkitan di sana. Justeru, saya menyeru pemain akan kekal fokus seratus peratus dan tidak terlalu gembira.

“Apa yang pasti, kami masih belum mengesahkan kemaraan ke pentas final dan kelebihan yang dimiliki ketika ini hanyalah angka. Saya mahu pasukan te­ruskan fokus dan tingkatkan prestasi tidak kira aspek pertahanan mahupun ketika melakukan serangan.

“Apa yang penting, kami perlu kekal positif meskipun selepas ini pasukan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri,” kata pengendali import dari Jerman itu.

Sementara itu, pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara percaya kesabaran menjadi kunci utama kejayaan pasukan kali ini memandangkan skuad lawan yang dibimbing oleh Unai Emery itu mempamerkan corak bertahan sepenuhnya.

“Sukar untuk kami menembusi benteng pertahanan pasukan lawan kali ini, tetapi setiap kali ada peluang keemasan, pasukan dapat menyempurnakan de­ngan baik dan saya harap tuah itu akan berterusan pada aksi kedua nanti,” katanya.

Liverpool kini memburu tiket ke pentas final Champions League buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun selepas kali terakhir melakukan pada edisi 2019 ketika bergelar juara buat kali keenam dalam sejarah mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI