Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora melihat pertemuan terakhir peringkat Kumpulan I menentang Ulsan Hyundai FC sebagai halangan terakhir untuk mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Mora berkata demikian selepas pasukannya berjaya melepasi objektif awal menewaskan kelab dari China, Guangzhou FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.
Katanya, kemenangan itu bukanlah mudah dicapai setelah Guangzhou mempamerkan taktik bertahan menggunakan formasi 5-4-1 bagi mengekang anak buahnya untuk melakukan serangan ke arah gawang.
“Kami berdepan kesukaran untuk tembusi benteng pertahanan kerana mereka cukup padat dalam ruang 30 meter di zon mereka sendiri.
“Kami terpaksa berusaha lebih keras dengan meningkatkan tempo permainan dan mempelbagaikan corak serangan, namun sedikit kelegaan apabila misi mengutip tiga mata tercapai.
“Saya gembira dengan keputusan ini, objektif pertama kami sudah tercapai dalam usaha untuk menghidupkan peluang melakar sejarah pertama kali melangkah ke pusingan kalah mati ACL,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Dalam pada itu, Mora berbangga selepas skuad Harimau Selatan memperlihatkan peningkatan setelah empat musim bersaing pada kejohanan ACL.
Katanya, musim ini JDT mempamerkan aksi lebih memberangsangkan berbanding sebelum ini apabila berjaya mengutip 10 mata menerusi lima perlawanan, sekalipun diletakkan dalam kumpulan sama dengan kelab gergasi Asia seperti Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.
“Saya amat berbangga dengan peningkatan ditunjukkan JDT pada saingan ACL setelah mempamerkan kematangan dalam permainan walaupun berdepan lawan yang sukar. Kami mampu beraksi dengan baik di pentas tertinggi Asia ini dan ia satu pencapaian luar biasa.
“Saya tidak menjangkakan JDT akan berada di tahap ini apabila tinggal satu sahaja perlawanan yang menjadi penghalang buat kami untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Memandangkan kami sudah berada di posisi ini, kami akan berusaha bermati-matian untuk memastikan kami memperoleh kemenangan untuk mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati,” katanya.
Dalam pada itu, penyerang JDT, Bergson Da Silva memberitahu, dia dan rakan sepasukannya bakal mempersiapkan diri sebaiknya untuk bertemu Ulsan Hyundai Sabtu ini.
Katanya, impian untuk melakar sejarah dalam saingan ACL kini terletak di tangan semua pemain untuk memastikan Ulsan Hyundai rebah kali kedua di tangan JDT dalam aksi Kumpulan I.