fbpx

Erti cemburu Ani Maiyuni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANI MAYUNI

KEHADIRAN Ramadan dan Syawal pada tahun ini disambut dengan penuh rasa kesyukuran oleh penyanyi dangdut, Ani Maiyuni.

Masakan tidak, dua tahun negara ‘terikat’ ketat dek pandemik Covid-19 dengan kehidupan seluruh masyarakat di Malaysia juga sering diulit duka.

Mana yang merantau tidak dapat bersua muka dan mendakap erat keluarga di kampung. Hanya teknologi menjadi penghubung bagi mengeratkan lagi ikatan silaturahim ketika menyambut hari perayaan.

Bagi Ani Maiyuni atau mesra membahasakan dirinya sebagai Ani, kerinduan terhadap ibu bapa sebenarnya tidak hanya ditanggung sejak dua tahun lalu.

Sudah bertahun-tahun lamanya Ani memendam rasa itu selepas ibu bapanya menghadap Ilahi. Dia kini hanya menumpang kasih ibu mentua.

“Saya sudah lama tidak ada ibu dan ayah. Jadi sudah bertahun-tahun saya tidak ‘gaduh’ dengan suami untuk berebut pulang ke kampung.

“Saya cuma ada ibu mentua untuk menumpang kasih,” jelasnya.

ANI MAIYUNI bersyukur masih boleh menumpang kasih ibu mentua selepas sekian lama kedua-dua orang tuanya meninggal dunia.

Rindu

Ketika disoal antara perkara yang paling dirindui ketika menyambut raya, pemilik nama lengkap Aishah An-Nur Osman itu mengakui sangat rindu untuk memeluk dan mencium kedua-dua orang tuanya menjelang pagi Syawal.

“Kalau saya imbas semula memori ketika raya, tanyalah sesiapa sahaja. Kalau Aidilfitri pasti akan peluk dan cium ibu bapa masing-masing. Tapi saya tidak lagi dapat melakukannya kerana orang tua saya sudah meninggal dunia.

“Sedih. Bila tengok orang lain masih ada ibu bapa, saya jadi cemburu. Sebab perkara itu akan membuatkan saya jadi sensitif,” katanya.

Sempat menitipkan nasihat, penyanyi berusia 44 tahun itu meminta sesiapa sahaja yang masih mempunyai ibu bapa, supaya memanfaatkan hayat selagi ada dengan menikmati kemanisan bersama orang tua.

“Untuk anak-anak yang masih ada ibu bapa, ambil masa sebaik mungkin selagi mereka masih ada. Rasai kemanisan bersama orang tua dan janganlah susahkan hati mereka,” katanya.

PELANTUN lagu Sedap ini gembira apabila dapat berkumpul dengan adik-beradiknya di Kuala Lumpur untuk menyambut Syawal bersama-sama.

Kekeluargaan

Bercakap tentang sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Ani teruja apabila bakal berkumpul dengan adik-beradiknya walaupun cuma di Kuala Lumpur (KL).

Kata Ani, sejak ibu bapanya meninggal, dia dan adik-beradik akan merayakan Aidilfitri dan berkumpul di KL sahaja.

“Cuma tahun ini abang saya yang sulung tidak dapat berkumpul bersama-kami kerana beraya di rumah ibu mentuanya.

“Hubungan kami seramai tujuh orang adik-beradik memang rapat. Ibu mentua pun tinggal di KL sahaja.

“Selain berkumpul, kami juga akan konvoi beramai-ramai ke Kuala Selangor dan melawat kubur keluarga di sana,” ujarnya.

Sebagai seorang ibu. Ani juga memastikan anak-anaknya turut merasai nikmat Aidilfitri seperti yang pernah dilalui ketika kanak-kanak.

Paling penting, Ani mahu anak-anaknya kenal saudara-mara dan menjaga ikatan silaturahim bersama-sama.

“Saya didik anak-anak supaya kenal saudara-mara sendiri. Ketika hari raya, saya akan bawa anak-anak bertandang ke rumah saudara-mara terdekat supaya mereka kenal.

“Bukan setakat hari raya, kalau ada kenduri kendara pun saya akan ‘heret’ bersama anak-anak supaya mereka bergaul.

Ingat, esok lusa kalau kita mati, saudara-mara jugalah yang akan mendoakan kita,” jelasnya.

Memasuki raya kedua nanti, pelantun lagu Sedap itu memberitahu dia sudah kembali bekerja untuk memenuhi jemputan membuat persembahan nyanyian di majlis-majlis sambutan hari raya.

AIDILFITRI tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh Ani selepas dua tahun tidak dapat berkumpul bersama keluarga gara-gara pandemik Covid-19.

Bersyukur

Biarpun terpaksa bekerja ketika orang lain, terutama keluarga dan sahabat lain sedang bergembira menyambut Syawal, Ani tetap beersyukur kerana masih diberikan rezeki dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, raya kedua nanti saya mula sibuk dengan persembahan-persembahan raya. Suami pun okey saya sudah kembali bekerja.

“Lagi pun, daripada saya ‘makan tidur’ sahaja ketika Aidilfitri, lebih baik saya bekerja dan bawa anak-anak sekali bersama semasa membuat persembahan,” katanya.

Disebabkan terlalu sibuk dengan jadual kerja termasuk menjalani penggambaran, bekas peserta program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu tidak sempat untuk membuat kuih raya seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jika sebelum ini Ani turut menjalankan perniagaan menjual kuih raya, namun tahun ini dia tidak mengambil sebarang tempahan.

Dia bimbang tidak sempat untuk menyiapkan pesanan dan menghampakan permintaan orang.

“Kalau ikutkan setiap tahun saya akan buat kuih raya sendiri.

“Cuma kali ini tidak sempat nak buat sebab terlalu sibuk. Jadi ada ‘kuih tunjuk’ sahaja yang dibeli di kedai,” katanya.

SETIAP kali raya, Ani tetap bersyukur kerana masih ada ibu mentua untuk menumpang kasih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI