PETALING JAYA – Dulang Network & Trading yang menghimpun pembeli, vendor dan pembekal barang kemas serta perhiasan, bakal memberi peluang kepada peminat barang kemas mendapatkan pelbagai maklumat mengenai barang kemas di bawah satu platform.
Melalui laman sesawang, dulangemas.com ia menjanjikan satu pengalaman beli-belah baharu kepada peminat barang kemas dan perhiasan yang mana terdapat lebih 50 rangkaian kedai emas disenarai dalam platform berkenaan.
Penaung dan Penasihat Dulang Emas, Zahardi Arman Zakaria berkata, melalui platform tersebut, ia memberi kemudahan kepada pelanggan untuk mengakses pelbagai kedai emas di Malaysia dengan lebih efisien dan meyakinkan.
Dulangemas.com merupakan satu aplikasi omnichannel (sub vendor) yang memberi peluang kepada vendor (kedai emas) untuk memasarkan barang kemas mereka dan memastikan akses terus kepada pembeli.
“Ia adalah satu hab hubungan terus yang memberi kebaikan kepada kedua pihak.
“Dalam platform ini, vendor dan pembeli dapat berhubung terus dan menjadikan ia sebagai satu platform jualan yang meyakinkan serta menyeronokkan dengan pelbagai pilihan barangan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Zahardi menerangkan, barang kemas yang dipasarkan di dalam dulangemas.com oleh vendor akan diangkat ke ruang pemasaran yang lebih luas dan terkini.
Sehubungan itu, vendor tidak perlu membuat pemasaran sendiri dan ini mengurangkan kos perniagaan mereka.
“Sistem belian atas talian menggunakan aplikasi mesra pengguna juga satu kelebihan kepada pelanggan kerana ia boleh diakses di mana-mana dan bila-bila masa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE