BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang deejay Korea Selatan mendakwa dirinya dimalukan oleh petugas syarikat penerbangan American Airlines yang memaksanya membuka pakaian dan berdiri dalam keadaan separuh bogel di khalayak ramai kerana memakai seluar tidak sopan, lapor portal berita MailOnline.
DJ Soda, 36, atau nama sebenarnya Hwang So-Hee, menaiki penerbangan American Airlines dari New York ke Los Angeles Selasa lalu. Sebelum berlepas, dia didatangi oleh seorang pramugari yang memintanya meninggalkan pesawat serta-merta.
Ahli muzik itu mendakwa dia diberitahu bahawa seluarnya yang tertera perkataan ‘fxxk’ adalah tidak sopan. Dia terkejut apabila seorang kakitangan memaksanya menanggalkan seluar itu di hadapan penumpang dan kakitangan lain.
Soda mendakwa dia meminta untuk menukar seluar di dalam bilik air tetapi tidak dibenarkan. Sebaliknya, dia terpaksa berdiri separuh bogel di tepi pintu ketika beberapa kakitangan lain memerhatikannya.
Akhirnya dia dibenarkan masuk semula ke dalam pesawat dengan memakai seluar secara terbalik. Pengalaman itu membuatnya dia trauma.
Dalam satu kenyataan, American Airlines memaklumkan bahawa polisi syarikat berkenaan melarang mana-mana penumpang berpakaian tidak sopan.
“Semasa Pesawat 306 memuatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK), kakitangan kami memaklumkan So-Hee mengenai polisi syarikat dan memberi peluang untuk dia menukar seluarnya kerana memaparkan perkataan jelik.
“Pelanggan itu mematuhi arahan dan dibenarkan menaiki pesawat seperti dirancang, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX),’’ jelas syarikat tersebut.
Kisah DJ Soda mendapat beribu-ribu ciapan di laman Twitter setelah mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen lain. – Agensi