LONDON – Individu bukan Islam di seluruh dunia mengambil bahagian dalam dua kempen pada bulan Ramadan bagi menunjukkan solidariti kepada masyarakat Muslim, lapor akhbar Arab News, kelmarin.
Kempen ini juga dilaksanakan bagi mengurangkan Islamophobia sekaligus membaik pulih toleransi dan pemahaman keagamaan.
Orang awam dari lebih 25 negara mengambil bahagian dalam inisiatif tahunan dinamakan Puasa Untuk Perpaduan dan Cabaran Hijab Ramadan 30 Hari anjuran Pertubuhan Hari Hijab Sedunia yang merupakan organisasi bukan bermotifkan keuntungan.
Kempen tersebut bermula pada 2 April lalu.
Cabaran pertama adalah menjemput orang bukan Islam berpuasa selama sehari, dua, 10 atau keseluruhan 30 hari untuk merasai bagaimana umat Islam berpuasa dan menjalani perjalanan rohani, muhasabah serta disiplin diri.
Penyanyi Britain, Kate Stables adalah salah seorang individu bukan Islam yang mengambil bahagian dalam cabaran itu.
Dalam mesej yang disiarkan di laman Instagram, Kate berkata, ini adalah tahun kedua dia berbuat demikian.
“Saya dapati banyak yang perlu dipelajari daripada menukar aktiviti harian sepenuhnya selama sebulan dengan belajar berpuasa seperti orang Islam.
“Seperti namanya, #FastForUnity ialah inisiatif untuk menghapuskan Islamofobia dan ia disertai oleh semua orang dalam komuniti dunia tanpa mengira agama atau perbezaan lain,” katanya.
Cabaran kedua iaitu hijab yang juga dikenali sebagai #Hijab30 telah dilancarkan sejak 2014.
Ia menjemput wanita dari semua latar belakang etnik untuk memakai tudung selama 30 hari sebagai usaha menamatkan diskriminasi terhadap wanita berhijab dan menghormati pilihan individu. – Agensi