KUALA SELANGOR – Seorang pejalan kaki warga emas parah akibat dilanggar sebuah kenderaan sehingga tercampak ke dalam longkang di Jalan Sasaran, Jeram di sini, semalam.
Kejadian tular pukul 9 pagi itu turut mengakibatkan wanita berusia 67 tahun berkenaan turut terkena tiang elektrik di kawasan tersebut.
Detik kemalangan itu tular menerusi video berdurasi 11 saat di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima maklumat kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan dan seorang pejalan kaki.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah kereta Toyota Altis menghentikan kenderaannya untuk memasuki simpang di jalan tersebut.
“Namun, sebuah Proton Satria dipandu wanita berusia 30 tahun secara tiba-tiba memasuki arah bertentangan dan melanggar Altis berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, Satria itu kemudian berpusing dan terlanggar pejalan kaki wanita yang berada di tepi bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini. -KOSMO! ONLINE