KREMLIN – Presiden Rusia, Vladimir Putin dilihat memberi sokongan penuh kepada atlet luncur ais remaja negara itu, Kamila Valieva berikutan kontroversi doping membabitkan atlet berusia 15 tahun ketika meraih pingat emas di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing.
Putin menyifatkan bahawa atlet Rusia beraksi dalam keadaan bersih dan kemenangan tersebut bukan hadir dengan bantuan bahan terlarang.
Valieva gagal ujian doping pada kejohanan kebangsaan Rusia Disember lalu, namun keputusan tersebut hanya didedahkan pada 8 Februari, sehari selepas dia membantu pasukan Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) memenangi emas dalam di temasya tersebut.
Ketika di Beijing, Valieva melakukan kejutan apabila muncul peluncur wanita pertama berhasil melakukan lompatan quadruple dalam acara berpasukan.
“Melalui kerjanya, dia membawa sukan ini ke tahap seni sebenar. Kesempurnaan seperti itu tidak boleh dicapai dengan bantuan bahan tambahan atau manipulasi dalam sukan tersebut.
“Kami sangat tahu bahawa bahan tambahan atau barang terlarang ini tidak diperlukan dalam sukan tersebut untuk membantunya meraih pingat emas,” katanya.
Dalam pada itu, Putin turut mengkritik tindakan badan sukan antarabangsa selepas atlet Paralimpik Rusia dan Belarus ‘dihalau’ daripada Sukan Paralimpik Beijing berikutan tindakan Moscow menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu.
Tegas Putin, keputusan tersebut adalah satu tindakan tidak munasabah dan diskriminasi.
“Penggantungan atlet dari Rusia dan Belarus bukan sahaja secara langsung melanggar prinsip asas sukan, tetapi hak asasi manusia. Secara terbuka mereka mencabuli hak-hak atlet,” tambahnya.
Tindakan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang menggantung jaguh Olimpik Rusia, Evgeny Rylov selama sembilan bulan turut mendapat perhatian Putin dan menyifatkan keputusan tersebut tidak masuk akal.
Rylov sebelum ini menghadiri perhimpunan yang menyokong campur tangan ketenteraan Moscow di Ukraine dan sekali gus mendapat perhatian FINA dan menjatuhkan hukuman. – AGENSI