BARU-BARU ini kisah mengenai apartmen mewah milik anggota kumpulan BTS iaitu Jimin dikatakan dirampas kerana gagal melunaskan insurans berhubung kesihatan.
Memetik laporan media Korea Selatan, Jimin dikatakan gagal membayar premium insurans kesihatan apartmennya yang terletak di Nine One Hannam dan hampir disita awal Januari lalu.
Dikhabarkan bahawa Nine One Hannam merupakan apartmen paling mahal di Korea Selatan yang mencecah harga 5.9 bilion won (RM20 juta) seunit.
Selepas tersebarnya berita tersebut, syarikat pengurusan Jimin iaitu Hybe Labels lantas memberi maklum balas dengan memuat naik kenyataan rasmi.
Menurut kenyataan tersebut, Jimin mengaku bersalah dan tidak menyedari insurans premium yang sepatutnya dibayar kerana jadualnya terlalu padat di luar negara.
“Sejak kebelakangan ini Jimin terlalu sibuk dan kerap ke luar negara. Justeru, memang silap datang dari pihak Jimin sendiri.
“Rumah tersebut tidak akan disita kerana Jimin dalam proses membayar kesemua tunggakan premium insurans sebelumnya,” katanya.