fbpx

Rayuan 14 individu termasuk dua adik Nicky Liow didengar 7 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
14 individu yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky' hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi pendengaran rayuan.

PUTRAJAYA – Rayuan 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’, akan didengar pada 7 Julai ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan.

Mahkamah membenarkan penangguhan yang dipohon oleh peguam Datuk Rajpal Singh serta Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali yang mewakili pihak pendakwaan.

Sebelum itu, Rajpal memaklumkan, hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan namun pihaknya memohon penangguhan kerana sedang menunggu perkembangan rayuan kes berlainan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut Rajpal, kes itu melibatkan rayuan seorang warga emas, M.A. Ambika, 63, yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia yang ditetapkan pendengarannya pada 23 Jun ini.

Ujar beliau, perkembangan kes itu penting kerana mempunyai kaitan dengan rayuan yang akan dikemukakan di hadapan panel tersebut.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan 14 individu termasuk dua adik Nicky iaitu Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor dan pernah menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac 2021.

Perayu lain ialah Lee Han Keat, Eee Eng Chee, Dr. Jovian Joris Tan Chern Chian, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Datuk Loo Siew Chin, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming dan Lim Kang Li.

Empat perayu merupakan warga China ialah Huang Lei, Gu Xing Qiong, Yujun Wang dan Jiang Xue. Kesemuanya berusia awal 20-an dan 56 tahun, hadir di mahkamah hari ini.

Kesemuanya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 September 2021 yang melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang `Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, dekat sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana pihaknya berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon agar kesemua anak guam mereka dilepas dan dibebaskan kerana mereka telah ditangkap antara 18 dan 21 Mac lalu.

Katanya, kesemua tertuduh juga ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Abd. Halim Aman kemudian memutuskan kesemua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI