PUTRAJAYA – Ketika Negeri Sembilan ‘kecoh’ dengan misteri kehilangan 2,000 ekor babi dari 19 ladang haram, statistik rasmi menunjukkan tidak banyak haiwan itu diternak di negeri ini.
Ia didedahkan menerusi laporan Perangkaan Ternakan 2021 diterbitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menunjukkan hanya ada 360 ekor babi komersial yang diternak sah.
Data yang dikeluarkan oleh agensi berkenaan pada awal tahun ini malah menunjukkan angka itu menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar babi paling sedikit angkanya di Malaysia.
Bahkan jurang rekod dengan Kedah, negeri kedua paling kecil ternakan babi komersial di negara ini juga amat besar apabila mengeluarkan 1,980 ekor babi pada sepanjang tahun lepas.
Terdapat hanya tiga buah negeri yang bebas ternakan babi iaitu Perlis, Kelantan dan Terengganu selain kesemua tiga Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Rekod JPV turut menunjukkan Negeri Sembilan sepanjang 2020 lalu hanya menternak 521 ekor babi yang sah, merosot agak teruk berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 960 ekor babi.
Secara keseluruhan, sejumlah 1,857,839 ekor babi komersial diternak secara sah di seluruh negara pada tahun lepas, jatuh daripada 1,869,772 ekor babi yang direkodkan pada 2020 lalu.
Perak terus kekal sebagai pengeluar babi paling besar di Malaysia pada tahun lalu dengan 566,906 ekor, meningkat berbanding hanya 562,288 ekor yang dicatatkan oleh JPV pada 2020. – KOSMO! ONLINE