KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney mengesahkan harapan untuk menyaksikan pemain berdarah kacukan, Nooa Laine untuk diserapkan dalam senarai akhir ke temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam mungkin tidak kesampaian.
Kata Maloney, pemain kelahiran Finland berusia 20 tahun itu tidak sempat untuk berada dalam senarai pendaftaran pemain ke temasya dwitahunan yang telah ditutup selain masih dalam permohonan pasport Malaysia ketika ini.
“Saya sangat teruja apabila mendapat persetujuan daripada kelab yang diwakili Nooa (SJK Seinajoki/Liga Finland) untuk melepaskannya bagi bersama skuad B-23 negara menjalani kem latihan pusat kali ini.
“Buat masa ini, dia masih dalam proses memohon pasport Malaysia dan kemungkinan besar tidak akan diserapkan dalam skuad Sukan SEA 2021 kerana sudah terlewat (bagi proses pendaftaran).
“Namun, kita membawanya ke sini adalah untuk melihat kualiti yang ada padanya sebagai pemain di posisi tengah meskipun pada posisi tersebut kita sudah ada banyak pilihan pemain yang berkualiti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Bangi kelmarin.
Pada sesi latihan tersebut, Maloney berjaya mengumpulkan 17 pemain, termasuk tambahan tiga lagi pemain yang baru melaporkan diri iaitu Nooa, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Zainal Abidin Jamil.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Australia itu percaya khidmat Nooa mungkin akan diperlukan apabila skuad muda Harimau Malaya bersaing pada saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun depan.
“Nooa sememangnya berada dalam radar kami dan jika segalanya berjalan lancar termasuk apabila dia sudah mendapatkan pasport, mungkin dia boleh bersama skuad ke Uzbekistan nanti,” katanya.
Skuad negara akan berlepas ke Vietnam pada 4 Mei ini untuk mengharungi saingan Kumpulan B dan bakal memulakan kempen temasya dwitahunan itu bertemu Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.