SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor mendedahkan secara purata sebanyak lima buah rumah terbakar setiap hari sepanjang Ramadan ini.
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, kebanyakan kebakaran itu melibatkan litar pintas, lupa menutup suis elektrik dan api dapur gas selain peralatan elektrik.
Katanya, bagaimanapun dalam kebakaran yang berlaku sepanjang Ramadan ini tidak merekodkan atau melibatkan kemalangan jiwa.
“Justeru, saya minta orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kediaman mereka terbakar.
“Minta tutup suis utama elektrik dan gas api terutama bagi mengelakkan insiden tidak diingini sewaktu mereka pulang beraya nanti,” katanya selepas merasmikan majlis Kempen Keselamatan Musim Perayaan di pusat beli-belah Central I-City di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya setakat ini belum menerima laporan kebakaran disebabkan bermain mercun dan membuat kuih atau kek hari raya.-KOSMO!ONLINE