fbpx

Kenderaan di KLK dan LPT1 meningkat 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JURUTOL mengedarkan cadangan waktu perjalanan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jumlah kenderaan melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) dijangka meningkat mendadak kira-kira 100 peratus dalam musim perayaan Aidilfitri antara 29 April hingga 8 Mei depan.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd. Radzi berkata, dalam tempoh berkenaan sebanyak 207,500 kenderaan dijangka melalui KLK sehari berbanding purata 100,000 kenderaan pada hari biasa manakala 100,000 kenderaan melalui LPT1 sehari berbanding purata pada hari biasa hanya kira-kira 45,000 kenderaan.

“Sejak awal Ramadan lagi Lebuh Raya KLK telah mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 145,231 pada setiap hujung minggu manakala LPT1 pula merekodkan sebanyak 45,600 buah kenderaan.

“Syarikat meningkatkan usaha memastikan keadaan Lebuh Raya KLK dan LPT1 berada dalam keadaan baik dengan melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta di hentian sebelah sejak awal Ramadan memandangkan aliran trafik ke Pantai Timur menunjukkan peningkatan ketara,” katanya di sini hari ini.

Menurut Radzimah, Anih Berhad yang merupakan pengendali lebuh raya berkenaan meneruskan komitmen untuk memastikan keselesaan pengguna lebuh raya kendaliannya sentiasa menjadi keutamaan.

Jelas beliau pihaknya giat meningkatkan kemampuan tenaga kerja termasuklah menambah bilangan juru tol seiring penambahan lorong di plaza tol kepada 151 lorong berbanding 100 lorong sebelum ini.

“Disamping itu seperti kebiasaannya syarikat juga akan mengedarkan cadangan waktu perjalanan di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temerloh termasuk kaunter–kaunter pusat khidmat pelanggan plaza tol Gombak, tol Bentong, tol Karak, tol Temerloh dan tol Kuantan minggu ini.

“Selain merancang perjalanan mengikut cadangan jadual perjalanan diberikan, para pengguna juga disaran untuk memastikan baki dalam e-Wallet, kad Touch n Go atau SmartTag mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pengecualian tol selama beberapa hari beliau berkata pengguna dikehendaki tetap menyentuh kad Touch n’GO mereka pada alat pengesan bagi tujuan pengesahan di lorong plaza tol.

Ujarnya, pengguna lebuh raya juga diingatkan untuk masuk dan keluar lebuh raya dalam tempoh yang ditetapkan bagi menikmati pengecualian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI