PETALING JAYA- Satu klip video tular di laman media sosial sejak semalam dengan memaparkan insiden pergaduhan dua orang lelaki di mana salah seorang daripada mereka didakwa mahu mengintai pergerakan jirannya menerusi pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
Difahamkan, menerusi video 2 minit 52 saat itu, lelaki itu dilihat mengamuk kepada seorang jiran kerana didakwa menghalakan pergerakan CCTV ke arah rumahnya sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan terhadap tindakan itu.
Malah, lelaki terbabit turut mendakwa tindakan jirannya menghalakan CCTV ke rumahnya sebagai mahu mengintai pergerakan isterinya memandangkan rumah mereka hanya bersebelahan.
Melalui video itu, lelaki terbabit meminta jirannya memberi penjelasan terhadap pergerakan CCTV itu selepas merasakan ia sebagai tidak sesuai dan menimbulkan pelbagai persoalan.
Bagaimanapun, jiran kepada lelaki itu memberi penjelasan bahawa dia tidak mengetahui tentang pergerakan CCTV itu selain menyifatkan ia sebagai aktiviti normal untuk alat elektronik itu berpusing sebanyak 360 darjah.
Sementara itu, rata-rata netizen turut memberi pelbagai reaksi berbeza dengan ada daripada mereka menyifatkan tindakan lelaki itu memarahi jirannya sebagai tidak wajar.
“Kesian abang itu kena marah, CCTV bukan boleh tembus dalam rumah pun, sekurang-kurangnya kalau berlaku sesuatu boleh juga ada bukti,” kata Rez Amin.
“Kalau rumah dia jadi apa-apa, kan boleh tengok CCTV jirannya, kenapa dengan pak cik ini,” soal 87Milo.
“Sepatutnya kalau pasang CCTV tak boleh menghala terus ke rumah jiran, tundukkan sikit ke bawah biar nampak pintu pagar dan jalan sahaja, saya buat begitu,” cadang Anie6436. -KOSM0! ONLINE