BERLIN – Kementerian Pertahanan Jerman memaklumkan bahawa Berlin bersetuju untuk menghantar 50 kereta kebal anti pesawat ke Ukraine bagi membantu Kiev menentang Russia, lapor United Press International (UPI).
Berlin selama beberapa dekad mengekalkan dasar untuk tidak melabur dalam aspek ketenteraan dan enggan memberikan bantuan ketenteraan kepada negara lain susulan penglibatan Jerman dalam Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu menandakan titik perubahan bagi Jerman, kata Canselor Olaf Scholz.
Sejak pencerobohan itu, Jerman mengumumkan penghantaran senjata kepada Ukraine dan memutuskan untuk mengukuhkan pertahanan negara.
Bagaimanapun, Berlin masih dikritik kerana tidak memberi lebih banyak bantuan kepada Ukraine dan tidak mempedulikan gesaan Presiden Volodymyr Zelenskyy untuk mendapatkan senjata berat.
Pada Selasa lalu, Menteri Pertahanan Jerman, Christina Lambrecht mengumumkan bahawa Berlin akan menghantar stok 50 kereta kebal anti-pesawat Gepardnya ke Ukraine.
“Ini adalah apa yang diperlukan Ukraine sekarang,’’ katanya kepada sidang akhbar.
Kereta kebal dilengkapi dua meriam automatik itu adalah sebahagian daripada pertahanan udara tentera Jerman sebelum dibubarkan pada 2010, demikian menurut tentera udara Jerman. – Agensi