BANDAR BAHARU – Seorang wanita tabah menjaga suaminya yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat jangkitan kuman sejak dua tahun lalu.
Suri rumah, Asmah Adam, 49, berkata, suaminya, Morad Kassim, 65, tidak lagi boleh bekerja selepas kaki kanan dan kiri dipotong sehingga paras lutut pada 2019 dan 2020.
Katanya, suaminya kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada dia dan anak tunggal mereka, Amirshah, 17, untuk bergerak.
“Buat masa ini, saya dan anak mencari kekabu untuk dijadikan bantal dan tilam sebelum dijual kepada penduduk setempat selain menanam 49 batang pokok pisang serta membela ayam kampung sebagai pendapatan.
“Saya juga merancang untuk menjalankan perniagaan gerai makan berhampiran rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 16, Serdang di sini kelmarin.
Asmah ditemui ketika dikunjungi Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kedah, Mohd. Zawawi Zakaria sempena program Ziarah Ramadan.
Katanya, rumah didiami mereka adalah milik arwah ibu bapa suaminya.
Menurut Asmah, suaminya bergantung sepenuhnya kepada dia dan anak untuk bergerak termasuk ke tandas.
“Sebab itu saya bersama anak lelaki perlu berada di rumah. Jika saya ke pasar Serdang, anak yang akan menjaga bapanya,” jelasnya.
Ujarnya, mereka berpindah dari Johor ke Kedah empat tahun lalu.
“Saya menerima bantuan zakat RM500 dan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,” tambahnya.
Sementara itu, Mohd. Zawawi berkata, pada program itu, mereka menyantuni lima keluarga di daerah ini dengan memberi sumbangan bagi sambutan hari raya.
“Setiap masyarakat berhak menikmati suasana Aidilfitri yang bakal tiba dan sedikit sumbangan ini dihulurkan sebagai tanda dalam satu Keluarga Malaysia,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Asmah di talian 017-787 5889 atau melalui Akaun Bank BSN 0111-8410-0008-266-2 atas nama Asmah Adam. -KOSMO! ONLINE