fbpx

CSR Bentong Bypass hadir pakej derita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

Laluan Central Spine Road (CSR) Bentong Bypast bernilai RM631.98 juta sememangnya amat signifikan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Bentong sekali gus memberikan keselesaan kepada perantau yang mahu pulang ke kampung khususnya ke Kelantan.

Jika dahulu setiap kali musim perayaan kesesakan teruk pas­tinya berlaku sehingga meresahkan pengguna jalan raya, namun dengan adanya laluan sepanjang 89.25 kilometer itu memberikan keselesaan kepada pengguna untuk tidak lagi menghadap kesesakan luar biasa di laluan bandar Bentong.

Berdasarkan kajian projek ini menjimatkan perjalanan dari 45 kepada 20 minit yang mana selain menjadi laluan alternatif ia akan mengurangkan kesesakan trafik di bandar Bentong terutamanya pada waktu puncak, musim pe­rayaan dan cuti sekolah.

Di sebalik kebanggaan dan keselesaan laluan penting yang terletak berhampiran Chegar Medang itu, penduduk setempat kini berhadapan pula kejadian banjir yang sering berlaku.

Selepas banjir besar yang menjadikan kawasan itu lautan pada 18 Disember tahun lalu, air sering kali naik apabila hujan menyaksikan tiga bulan kemudian berlaku lagi banjir dan sehingga kini rumah berhampiran sungai sering dinaiki air.

Meskipun tiada kajian terpe­rinci didedahkan punca yang menyebabkan kawasan berkenaan kini sering berlakunya banjir, menimbulkan keresahan dan persoalan dalam kalangan penduduk punca banjir yang makin kerap berlaku.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Ketari dan Bilut, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, langkah pembinaan benteng te­batan banjir selain mendalamkan sungai-sungai utama amat wajar dilakukan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

“Chegar Medang adalah kawa­san lembangan banjir. Ia mempunyai tebing sungai yang mendatar dengan penempatan menyebabkan kalau air melimpah, ia terus ke penempatan.

“Jalan itu (CSR) pula bertindak sebagai benteng tebing kiri, sedangkan tebing kanan di mana kawasan surau Benus dan Chegar Medang mempunyai tebing yang rendah.

“Jadi apabila air mengalir, ia tidak boleh pergi ke kiri dan akan mengalir ke sebelah kanan menyebabkan kawasan surau dan perumahan itu banjir,” katanya di sini baru-baru ini.

Pada 17 Mac lalu, Chegar Medang sekali lagi dilanda bah selepas kejadian banjir berlumpur yang menenggelamkan kawasan itu pada 18 Disember tahun lalu dan baru-baru ini air hujan turut melimpah memasuki kawasan rumah berhampiran sungai.

Sedikit sahaja hujan, keresahan pasti singgah dalam hati penduduk kerana air berkemung­kinan naik sehingga memasuki ru­mah penduduk.

Kehidupan penduduk tidak lagi tenang, kalau hujan tidak boleh tidur, sentiasa bersedia menyelamatkan barang-barang dan melarikan diri bersama keluarga.

Anak-anak yang bekerja jauh sering risau keadaan ibu bapa di kampung hingga ada memujuk mahu membawa mereka tinggal di kawasan lain.

Hari raya bakal disambut ti­dak lama lagi, namun penduduk di kawasan tersebut hanya membuat persediaan ala kadar, hati sentiasa tidak tenteram, bunyi sahaja guruh dan titisan hujan hati sudah tidak tenteram meskipun di hari lebaran.

Bagi yang mahu pulang ke kampung, barang-barang diletak­kan di tempat tinggi, kereta ke­dua ditinggalkan di tempat lain dan pulang dengan doa agar tiada kejadian banjir dalam tempoh itu.

Sehingga kini sungai yang semakin cetek terus bertambah cetek, malah alat amaran banjir juga masih rosak tanpa dibaiki.

Mengapa sehingga kini tiada apa-apa tindakan tuntas terma­suk mendalamkan sungai, malah alat amaran banjir masih dibiarkan rosak sejak empat bulan lalu di badai banjir besar.

Tolonglah bertindak se­ge­ra, jangan sampai rakyat setempat terus menderita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI