JOHOR BAHRU – Pengurusan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn di sini, menyambut baik penganjuran program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia Sdn. Bhd. dan Era Foods MY (Beras Era) semalam.
Imam Masjid Sultan Iskandar, Abdullah Embong berkata, program seperti itu cukup baik diadakan pada bulan Ramadan dalam usaha mendapatkan keberkatan Allah SWT.
Beliau berkata, program memasak bubur lambuk itu diadakan bermula seawal pukul 8 pagi membabitkan 10 orang kakitangan Beras Era serta 15 ahli Hal Ehwal Wanita (Helwa) Masjid Sultan Ibrahim.
Katanya, sekitar pukul 12 tengah hari, bubur lambuk ini sudah siap dimasak dan dibungkuskan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
“Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk ini adalah program yang baik dengan bersedekah memberi makanan kepada umat Islam untuk berbuka puasa, mudah-mudahan mendapat pahala dan keberkatan Allah.
“Ini adalah pertama kali program kerjasama ini diadakan antara Masjid Sultan Iskandar dengan Beras Era, harapnya ia akan dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.
Abdullah berkata, sejumlah 1,000 bungkusan bubur lambuk ini akan diedarkan di Bazar Tebing Bandar Dato Onn dan di Masjid Sultan Iskandar.
“Ahli Helwa juga turut mengedarkan bubur lambuk ini dari rumah ke rumah di kawasan perumahan Desa Mutiara, di sini.
“Program ini wajar dijadikan acara tahunan setiap kali tiba bulan Ramadan dengan penambahbaikan diselitkan program lain selain mengedar bubur lambuk.
“Secara keseluruhannya, program ini disambut baik kerana memberi manfaat kepada pelbagai pihak di sini,” tambahnya.