MANCHESTER – Kapten Real Madrid, Karim Benzema menyeru agar barisan pemain tidak mengibarkan ‘bendera putih’ terlalu awal selepas tewas tipis 3-4 kepada Manchester City pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) di Etihad awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Benzema berjaya membantu The Galacticos merapatkan jurang jaringan dengan meledak dua gol, manakala satu lagi jaringan disumbangkan oleh Vinicius Jr. untuk memastikan peluang mereka pada aksi separuh akhir kedua minggu depan masih terbuka.
Pemain antarabangsa Perancis itu menyeru agar penyokong hadir memenuhi Santiago Bernabeu pada perlawanan kedua itu nanti dalam memastikan impian pasukan untuk mara ke pentas final dapat direalisasikan.
“Saya masih optimis peluang untuk kita mara ke pentas final masih terbuka dan kekalahan ini tidaklah seteruk yang disangka. Harapan kami adalah bagi memastikan aksi kedua nanti dapat berakhir dengan kemenangan.
“Kita boleh lihat beberapa rekod perlawanan yang lepas yang mana pasukan kami di ambang kekalahan, tetapi masih mampu bangkit untuk mara ke pusingan seterusnya dan tidak mustahil situasi yang sama berlaku pada aksi kedua nanti.
“Apa yang pasti, City adalah pasukan yang bagus dan bukan mudah untuk kita bangkit merapatkan jurang khususnya apabila ketinggalan 0-2 pada awal saingan,” kata penyerang berusia 34 tahun itu lagi.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Real, Carlo Ancelotti mahu pasukannya memperbaiki kelemahan khususnya aspek pertahanan yang dilihat cukup longgar sehingga mudah membiarkan skuad The Citizens meledak empat gol.
“Jika pasukan mahu mara ke pentas final, pemain perlu lebih menumpukan perhatian pada aspek pertahanan dan sudah tentu nasib menyebelahi kami apabila jentera serangan kami masih berbisa apabila mampu meledak tiga gol berharga,” katanya. – AGENSI