LONDON – Golongan wanita mempunyai risiko dua kali ganda untuk meninggal dunia akibat serangan asma berbanding lelaki, lapor akhbar The Sun, semalam.
Sebuah badan kebajikan Britain, Asthma + Lung UK mendedahkan punca peningkatan risiko itu adalah disebabkan oleh hormon seksual wanita iaitu estrogen yang menyebabkan serangan pernafasan menjadi lebih serius.
Ketua Pegawai Eksekutif Asthma + Lung UK, Sarah Woolnough berkata, kebanyakan lelaki yang menghidap asma ketika kecil berjaya mengatasi keadaan itu apabila meningkat dewasa.
“Berbeza dengan wanita, hormon seksual lelaki iaitu testosterone membantu menguatkan saluran pernafasan yang sempit apabila serangan asma berlaku.
“Hormon estrogen dan progesterone wanita pula menjadikan simptom asma semakin memburuk,” jelas Woolnough.
Wanita dewasa adalah 2.5 kali lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital akibat serangan asma berbanding lelaki dan lebih berkemungkinan sukar mengawal keadaan itu.
Sementara itu, pakar-pakar menyeru agar lebih banyak penyelidikan dijalankan untuk lebih memahami mengapa wanita terjejas teruk jika mendapat serangan asma.
“Dengan memahami peranan hormon seks dalam penyakit asma, kita boleh mengubah kehidupan berjuta-juta wanita di seluruh dunia,” kata Woolnough. – Agensi