WASHINGTON – Lembaga pengarah platform media sosial Twitter mengumumkan bersetuju menerima tawaran berjumlah AS$44 bilion (RM191.2 bilion) oleh pengasas Tesla, Elon Musk bagi membeli syarikat itu, sekali gus bakal menjadikannya entiti persendirian, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Menurut Twitter, di bawah terma perjanjian, para pemegang saham syarikat itu akan menerima bayaran sebanyak AS$54.20 (RM235.64) bagi setiap unit saham.
“Ahli-ahli lembaga pengarah Twitter telah melakukan proses menyeluruh lagi mendalam bagi menilai tawaran Musk dengan memberi fokus kepada nilai, kepastian dan pembiayaan.
“Urus niaga yang dicadangkan akan memberikan premium tunai yang lumayan, dan kami percaya ia merupakan tawaran terbaik untuk para pemegang saham Twitter,” kata Pengerusi lembaga pengarah, Bret Taylor.
Sementara itu, Musk dalam satu kenyataan berkata, beliau ingin menambah baik platform Twitter dengan ciri-ciri baharu, menjadikan algoritma sebagai sumber terbuka bagi meningkatkan kepercayaan pengguna, menghapuskan bot palsu bagi a mengesahkan bahawa semua penggunanya adalah manusia.
“Kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi yang berfungsi, dan Twitter bertindak sebagai satu bandar digital, di mana perkara-perkara penting untuk kemanusiaan diperdebatkan di sini.
“Saya teruja untuk bekerja dengan syarikat tersebut dan komuniti pengguna Twitter bagi melaksanakan semua pembaharuan itu,” ujarnya.
Musk telah lama menjadi pengkritik kepada dasar dan batasan di Twitter. Menurut beliau, dengan memiliki platform media sosial itu, ia dapat mencapai potensi luar biasa sebagai sebuah syarikat persendirian. – Agensi