fbpx

Tapir Malaya akan terus dilindungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster sambutan Hari Tapir Sedunia

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan terus mempergiatkan usaha konservasi in-situ Tapir Malaya.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara langkah-langkah berkaitan adalah dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi dan melaksanakan inventori.

Usaha lain yang terlibat, menurut beliau, termasuklah menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, lampu ambar solar, dan papan tanda hidupan liar melintas di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Dalam aspek konservasi ex-situ, program pembiakan Tapir Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor telah menghasilkan 18 kelahiran dalam kurungan.

“Manakala 14 ekor Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak 2008,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, usaha akan terus diperkasakan melalui usaha penubuhan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka siap pada 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan konservasi spesies Tapir dan
habitatnya.

“Malaysia bertuah kerana mempunyai spesies Tapir Malaya yang merupakan spesies Tapir yang terbesar di dunia.

“Tapir Malaya berbeza dengan spesies Tapir lain di dunia kerana ia merupakan satu-satunya spesies Tapir yang mempunyai dua warna yang jelas iaitu hitam dan putih apabila
meningkat dewasa,” katanya.

Tapir Malaya merupakan salah satu spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Ia merupakan spesies yang terancam dalam senarai IUCN Red List of Threatened Species dan Redlist of Mammals for Peninsular Malaysia 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI