fbpx

Sindiket curi, tukar identiti kereta mewah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi menunjukkan kenderaan curi yang telah ditukar identiti di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Sindiket curi kereta mewah yang bertindak menukar identiti status kenderaan kepada dilupuskan dan musnah sepenuhnya (total loss) bagi menggantikan identiti kenderaan yang dicuri berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, aktiviti itu terbongkar selepas polis memberkas sembilan lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an dalam serbuan di empat negeri sejak Disember tahun lalu hingga kelmarin.

“Penahanan sembilan lelaki terbabit membawa kepada rampasan 26 kenderaan mewah antaranya Toyota Vellfire, Mercedes, BMW, Ford Ranger dan Mazda.

“Keseluruhan rampasan kereta mewah itu dianggarkan bernilai RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Jelasnya, sindiket terbabit bertindak menukar identiti kenderaan curi berkenaan dengan mendapatkan maklumat berhubung kenderaan dilupus atau kenderaan disytihar ‘total loss’ (musnah sepenuhnya).

“Maklumat itu diperoleh menerusi satu laman sesawang insurans kemudian digunakan bagi menggantikan identiti kenderaan curi sebelum didaftarkan semula dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kesemua kenderaan itu kemudian dijual dengan keuntungan antara RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap kereta,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pihaknya sehingga kini menerima 26 laporan kehilangan kereta mewah di ibu negara sejak tahun lalu dan percaya ada lagi laporan yang berkait dengan sindiket terbabit.

“Dua daripada sembilan suspek tersebut masih dalam tempoh reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada lagi ahli sindiket ini yang masih bebas dan usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI