ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri melancarkan program Bantuan Beras Bangsa Johor secara serentak di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan beras itu akan dilaksanakan secara berfasa bermula hari ini hingga 31 Mei, dengan agihan fasa pertama sebanyak 172,500 kampit beras 10 kilogram (kg).
Menurut beliau, bantuan beras itu merupakan salah satu daripada keseluruhan 28 inisiatif yang akan dilaksanakan pihaknya menerusi program Bantuan Kasih Bangsa Johor.
“Hari ini, pelancaran Bantuan Kasih Bangsa Johor secara serentak khususnya untuk inisiatif bantuan beras kepada setiap isi rumah di Johor bermula hari ini dan akan berakhir pada 31 Mei.
“Semua warganegara Malaysia yang menetap di negeri ini akan dapat, setiap isi rumah akan terima sekampit beras 10 kg. Ini adalah bantuan kepada semua rakyat, sebab kita tidak mahu ada pihak yang kata mereka tidak pernah terima apa-apa daripada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di Kota Iskandar, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE