GEORGE TOWN – Seorang lagi etnik Rohingya yang terbabit kemalangan ketika melarikan diri secara beramai-ramai di Kilometer 165, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Seberang Perai minggu lalu dilaporkan meninggal dunia semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, remaja perempuan berusia 14 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya dekat sini pagi semalam.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 21 tahun masih dirawat di hospital sama dan siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.
“Pihak polis juga telah merekodkan keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung nahas ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan enam etnik Rohingya termasuk dua kanak-kanak terbunuh dilanggar kereta ketika cuba melintas jalan kira-kira pukul 6.50 pagi selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah pada Rabu lalu.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, polis masih memburu 61 lagi tahanan Rohingya yang melarikan diri dengan dua tangkapan terbaharu dibuat di negeri ini kelmarin.
Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan tahanan yang masih bebas telah melepasi sempadan Pulau Pinang dan berada di negeri jiran.
“Apa yang kami bimbangkan ialah kemungkinan tahanan Rohingya ini telah berasimilasi dengan penduduk tempatan.
“Mereka mungkin mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu dapat mengelakkan daripada ditangkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE