LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyeru anak-anak buahnya untuk tidak pandang mudah ancaman yang boleh diberikan pasukan La Liga, Villarreal dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield awal pagi esok.
Kata Klopp, skuad The Yellow Submarine memiliki reputasi yang hebat kerana dibimbing oleh jurulatih yang memiliki kepakaran pada saingan pentas Eropah seperti Unai Emery dan boleh mengejutkan pasukannya jika terlalu yakin.
“Saya telah melihat beberapa perlawanan yang diharungi oleh Villarreal pada kempen UCL musim ini dan keputusan yang mereka raih cukup meyakinkan terutama apabila berjaya menyingkirkan kelab gergasi seperti Juventus dan Bayern Munich di pusingan yang lepas.
“Dalam masa yang sama, saya tidak terkejut kerana mereka sememangnya berhak untuk berada di pentas separuh akhir dan jika diikutkan rekod semasa, Emery adalah pakar bagi saingan bola sepak bertaraf kejohanan dan wajar dihormati,” katanya.
Sebagai rekod, Emery sebelum ini pernah menjuarai saingan Liga Europa sebanyak tiga kali bersama Sevilla sebelum membantu pasukan Villarreal menang pada edisi tahun lepas dengan menewaskan Manchester United.
Sementara itu, kapten Liverpool, Jordan Henderson turut senada dengan Klopp dengan menyeru agar barisan pemain memberikan tumpuan penuh di atas padang selain memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri nanti.
“Kami jangkakan kedua-dua perlawanan yang sukar menentang Villarreal nanti. Namun, mereka perlu hadir ke Anfield dulu dan kita lihat bagaimana keputusan di sini nanti.
“Cuma, saya mahu semua pemain bersedia kerana mereka telah menewaskan Bayern dan Juventus sebelum ini dan sudah tentulah pasukan perlu memberikan fokus sepenuhnya untuk menghadapi tentangan mereka,” katanya. – AGENSI